Tuesday, April 8, 2014

Perasmian Pembukaan Bengkel Pusat Sehenti Borong Maya Apparel









SUDAH menjadi lumrah bagi seorang ibu inginkan yang terbaik dalam kehidupan anaknya. Tidak kira apa pun rintangan yang mendatang, seorang ibu yang baik dan prihatin terhadap anak-anaknya, akan berusaha sebaik mungkin dalam menguruskan pekerjaan yang diceburi demi anak-anak yang dicintai.

Acapkali juga kita melihat apabila anak itu dibesarkan oleh ibu atau ayah yang menjalankan perniagaan, tidak mustahil harapan dan tanggungjawab untuk mewarisi perniagaan tersebut diserahkan kepada anak-anaknya apabila tiba waktu yang sesuai.

Demikian juga harapan dan impian menggunung tinggi yang diidamkan oleh pemilik butik Maya Collection, Jama’ayah Che Ros, 43, terhadap lima orang cahaya matanya.

Perniagaan tersebut khusus kepada jahitan dan pemprosesan pakaian dan tudung siap, menerima tempahan dalam kuantiti yang banyak dan jualan secara harga borong dan runcit kepada pengedar.

Dia yang sangat komited dengan kerjanya itu, berharap suatu hari nanti apabila anak-anak sudah meningkat dewasa, perniagaan yang diusahakan dengan jerih payah tersebut akan memberi seribu erti kepada kehidupan anak-anaknya yang semakin meningkat usia.

Jama’ayah juga mengakui, dalam usahanya memupuk minat dan ilmu perniagaan butik yang berkonsep kilang itu kepada anak-anaknya, dia telah melatih mereka tentang selok belok perniagaan itu bermula dari sekarang.

“Setiap hujung minggu dan cuti sekolah kebanyakan masa mereka akan dihabiskan di kilang ini. Mereka menunjukkan minat untuk belajar benda baharu termasuk cara potongan kain dan asas jahitan untuk hasilkan baju mahupun tudung," katanya.

Bercerita lanjut ketika menemui Jama’ayah di kilangnya di Kampung Seri Aman Berkat, Puchong, Selangor, ibu cekal ini bersyukur kerana niatnya untuk memiliki perniagaan kini termakbul setelah keputusannya keluar daripada menjadi rakan kongsi perniagaan butik tudung dan tudung sejak setahun lalu memberi ruang dia memiliki perniagaan sendiri.

“Selepas mengambil keputusan berhenti menjadi rakan kongsi di butik tersebut yang beroperasi sejak enam tahun lalu, saya tidak teragak melangkah ke hadapan membuka sendiri perniagaan Maya Collection berbekalkan pengalaman yang dimiliki.

“Alhamdulillah perniagaan ini berjalan seperti yang diharapkan. Pada masa ini kami menyediakan pelbagai jenis produk jahitan yang dihasilkan di sini dengan bantuan tukang jahit berkemahiran yang terdiri daripada wanita-wanita daripada kawasan ini sambil dipantau sendiri oleh saya bagi memastikan produk yang dihasilkan memiliki kualiti yang sama.

“Antara produk yang dihasilkan berkonsep jualan kilang secara runcit dan borong ini termasuklah pakaiaan seperti jubah, baju kurung, blaus, tudung, selendang dan juga menerima semua jenis tempahan daripada pelanggan yang ingin menempah dalam kuanti yang banyak untuk dipasarkan di luar," katanya.

Tambahnya, dia gembira kerana keputusannya membuka kilang jahitan di kawasan tersebut berikutan niatnya untuk membantu penduduk sekitar.

“Saya melihat apabila membuka kilang di sini, selain meluaskan pasaran dan perniagaan dapat membantu golongan-golongan yang memerlukan pekerjaan seperti ibu tunggal, anak-anak muda yang tidak bekerja untuk memperoleh pendapatan.

“Dalam sehari dengan kemudahan yang ada kilang ini dapat keluarkan 500 pasang baju termasuk tudung, selendang dan jubah untuk dijual kepada pengedar. Konsep kilang ini juga tidak membuka stokis jualan tetapi lebih kepada jualan kepada pengedar dalam kuantiti yang banyak melebihi 20 helai setiap satu produk," katanya.

Identiti sendiri

Ujarnya lagi, memandangkan pasaran luar tidak terlepas dengan longgokan produk pakaian dan tudung yang dijual kepada orang ramai, dia juga mempunyai identiti tersendiri dari segi jahitan tudung bagi membezakan produk keluarannya.

“Jahitan tudung dari kilang ini berbeza dengan jahitan tudung-tudung yang dijual di pasaran. Saya mencipta sendiri jahitannya pada tepi tudung bagi membezakannya dengan tudung-tudung yang terdapat di pasaran.

“Bagi pelanggan yang ingin menempah pakaian mahupun tudung dalam kuantiti yang banyak untuk mereka jual, di sini kami menyediakan semua aspek dari material,rekaan dan jahitan," katanya.

Tambahnya lagi, bagi membantu usahawan dan individu yang ingin berniaga tetapi tidak mempunyai modal yang banyak, Maya Collection memberi peluang kepada mereka membeli produknya dengan harga borong dan runcit.

Pihaknya juga menawarkan jualan borong dan runcit dengan harga yang berpatutan berdasarkan jenis produk yang dibeli. Konsep dropsheet turut ditawarkan oleh Maya Collection dengan hanya menawarkan koleksi tudung 15 pasang. Konsep ini memerlukan peniaga bersaing antara satu sama lain untuk mendapatkan koleksi terhad ini yang berbeza setiap satu dari segi warna dan coraknya.



“Mereka yang berminat untuk menjadi pengedar Maya Collection boleh hubungi 012-5707859," katanya.



sumber : Utusan Malaysia